BACHOK – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terjatuh ke dalam satu tali air di Kampung Limau Nipis, Melawi di sini hari ini ditemui mati lemas setengah jam kemudian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang, mangsa, Nurhasnita Saupi dikatakan bermain-main di tepi tali air tersebut yang terletak berhampiran rumahnya sebelum tergelincir dan terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.57 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.
“Seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tersebut yang turut dibantu oleh penduduk kampung.
“Mangsa berjaya ditemukan 30 minit kemudian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sejurus selepas mayat mangsa ditemui.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bachok untuk bedah siasat. – K! ONLINE











