PASIR PUTEH 6 Nov. – Seramai 26 penduduk daripada lima keluarga di Kampung Tok Kundur, dekat sini, terputus hubungan apabila jalan utama ke kampung mereka ditenggelami air sedalam 0.5 meter hari ini.
Pegawai Bomba dan Penyelamat daerah, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, jalan berkenaan ditenggelami air selepas hujan lebat berterusan sejak semalam.
“Anggota bomba dan agensi penyelamat membuat pemantauan awal ke lokasi itu kerana kampung berkenaan lazimnya paling awal dilanda banjir di daerah ini setiap tahun.
“Penduduk perlu berwaspada dan bersiap sedia daripada sekarang untuk dipindahkan jika keadaan semakin buruk. Air akan terus meningkat naik sekiranya hujan lebat berterusan hingga petang ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Turut meninjau lokasi itu ialah Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pasir Puteh, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar.
Azhar berkata, penduduk kampung yang sebahagian besarnya bekerja kampung terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, dekat sini setiap tahun kerana penempatan mereka paling rendah dan mudah digenangi air.
Info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan (JPS) melaporkan keadaan paras air di Sungai Semerak mencatat peningkatan ke tahap enam meter (paras amaran) daripada paras biasa, empat meter pada pukul 12 tengah hari ini. – UTUSAN ONLINE










