LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) tidak sama sekali membiarkan bakat pelumba terbaiknya, Danial Syahmi Sharil terkubur, sebaliknya akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk memastikan pelumba muda negara itu pulih sepenuhnya.
Danial yang menaiki podium tempat kedua pada perlumbaan pertama Asia Talent Cup (ATC) di Sepang Sabtu lalu terlibat dalam kemalangan tragis sehingga menyebabkan kaki kanannya cedera teruk.
Pelumba berusia 16 tahun itu mempunyai peluang untuk muncul juara, namun pelumba Jepun, Haruki Noguchi dilihat menghimpit Danial ketika mahu tiba ke garisan penamat sehingga menyebabkannya terjatuh.
Akibat insiden itu, kaki kanan Danial digilis pelumba lain memandangkan ketika itu semua sedang memecut dengan kelajuan 200 kilometer sejam. Danial terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki helikopter.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, keadaan Danial ketika insiden tersebut sangat serius dan dia dikejarkan ke HKL serta-merta dengan menaiki helikopter.
“Kami risaukan keadaannya kerana ketika itu dia terjatuh sebelum digilis pelumba lain dalam keadaan laju. Kita tiada pilihan lain kerana HKL paling layak untuk melakukan rawatan kerana mereka ada kepakaran.
“Jadi, kita serahkan kepada mereka dan syukur keadaan Danial ketika ini stabil. Apa yang saya tahu ialah Danial kehilangan 10 sentimeter tulang kakinya.
“Kita juga membuat keputusan untuk pindahkan Danial ke Kuala Lumpur Sports Medicine Centre di Damansara untuk mendapatkan rawatan susulan. Danial akan menjalani pembedahan stem cell untuk memastikan keadaan kakinya lebih baik dan cepat pulih,” katanya kepada Kosmo! semalam.










