PULAU PINANG 14 Nov. – Kerajaan negeri didesak tidak meneruskan cadangan membina dua buah hotel di puncak Bukit Bendera selagi tiada kajian menyeluruh dibuat demi keselamatan penduduk di situ.
Mohd. Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) berkata, dalam hal ini, mereka sepatutnya mengambil iktibar daripada dua tragedi tanah runtuh yang berlaku sebelum ini hingga meragut 20 nyawa dalam tempoh setahun.
Katanya, Pas negeri juga sependapat dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mahu melihat kerja-kerja pembinaan projek berhampiran cerun bukit yang berisiko dihentikan segera.
“Saya berharap kerajaan negeri mengambil kira maklum balas daripada semua pihak termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) kerana projek-projek tersebut juga berisiko terhadap keselamatan penduduk setempat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri akan membina dua buah hotel di puncak Bukit Bendera dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke situ bermula tahun depan. -UTUSAN ONLINE










