Kaji dulu faktor remaja suka keluar malam - Utusan Malaysia

Kaji dulu faktor remaja suka keluar malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Nov. – Kerajaan Pas Kelantan akan mengkaji lebih mendalam mengenai faktor-faktor yang menyebabkan remaja menggemari keluar pada waktu malam sebelum melaksanakan perintah berkurung di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kajian itu penting bagi mengenal pasti punca sama ada melibatkan institusi kekeluargaan yang bermasalah ataupun terdapat tarikan di luar.

Beliau berkata, kerajaan negeri pernah melaksanakan program ‘Desa Taqwa’ yang berperanan memberikan nasihat serta menyedarkan ibu bapa tentang penglibatan anak mereka dengan kancah gejala sosial.

“Kerajaan akan membuat kajian dahulu sebelum melaksanakan perintah berkurung seperti yang diamalkan di negara maju lain.

“Contohnya, bermula dari 10 pagi hingga 10 malam, warung-warung tidak boleh dihadiri kanak-kanak dan remaja, kecuali dalam keadaan tertentu seperti di kawasan perhentian bas, klinik atau hospital.

“Kita bukan setakat hendak mengawal tingkah laku mereka tanpa memberi sesuatu, jadi kita hendak melihat apa lagi kesan atau sebab yang menyebabkan mereka suka keluar malam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan tazkirah di Medan Ilmu, Jalan Datuk Pati, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi semasa ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan kelmarin, membahaskan perkara berkenaan.

Katanya, Kerajaan Pas Kelantan bersedia mengkaji pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin, Ahmad berkata, beliau hanya menghadiri program mengenai projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Hari itu bukan pertemuan tetapi saya menghadiri mesyuarat ECER yang membuat pelantikan baharu dan program yang dijelaskan oleh ketua pegawai eksekutif tersebut.

“Tiada perkara lanjut dibincangkan dan saya hanya beritahu Dr. Mahathir, Kelantan belum menerima lagi pembayaran wang royalti minyak. Maklum balas kena tunggu lah, Tun tidak kata apa-apa lagi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN