KUALA LUMPUR 2 Nov. – Warganegara Switzerland yang juga bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo semalam meminta maaf kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berhubung salah faham mengenai dakwaan polis yang dikatakan memaksa beliau menyebut Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri terbaik.
Justo berkata, sepanjang pengetahuannya, beliau tidak ingat berbuat kenyataan sedemikian dalam temubual bersama media, The Malay Mail.
Walau bagaimanapun, katanya, beliau pasti ayat berkenaan tidak pernah keluar daripada mulutnya sendiri.
“Saya mahu menjelaskan bahawa saya agak pasti tidak mengeluarkan perkataan-perkataan sedemikian. Saya berkata bahawa Paul Finnigan dan Polis Thailand telah memberi soalan-soalan kamu (Amar) kepada saya lebih awal dan mereka mahu saya mengatakannya.
“Saya tidak memeriksa perkataan-perkataan yang sepatutnya diujarkan sewaktu sidang akhbar dilakukan di mana saya patut menyebutnya. Tetapi, saya amat pasti apa yang disebutkan oleh saya adalah berkenaan Paul Finnigan dan polis Thailand dan bukannya polis Malaysia. Jika saya tersilap, mohon maafkan saya kerana saya juga manusia biasa selain bahasa Inggeris merupakan bahasa ketiga yang dituturkan oleh saya,” katanya menerusi status Facebook miliknya, semalam.
Semalam, Amar Singh membuat kenyataan menyangkal dakwaan Justo dipaksa membuat pengakuan terbuka bahawa bekas Perdana Menteri adalah seorang yang baik.
Amar menjelaskan, polis tidak pernah meminta Justo berbuat demikian, dan tidak ada pun dalam kenyataan Justo yang dalam simpanan polis, menunjukkan bahawa Justo bercakap seperti apa yang didakwanya. – UTUSAN ONLINE











