Belanjawan tahunan merupakan instrumen untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun. Oleh itu Belanjawan 2019, yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu adalah kesinambungan kepada Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-11 yang baru sahaja dibentangkan pada 18 Oktober lalu.
Belanjawan 2019 ini meliputi enam tonggak yang terkandung di dalam KSP tersebut. Walau bagaimanapun, bahagian pertama Tonggak II (Memperkukuh Pembangunan Inklusif) tidak ditangani secara jelas dan khusus. Bahagian kedua (Kesejahteraan Rakyat) diakui disentuh dengan agak meluas.
Sesungguhnya tiada perhatian khas diberikan kepada isu menangani jurang kekayaan, khususnya jurang kekayaan antara kumpulan (inter group inequalities). Juga tiada usaha untuk menambah pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 11 peratus (%) setahun, seperti dipahat dalam KSP berkenaan.
Yang demikian, dibimbangi tindakan-tindakan tertentu yang diambil untuk mencapai objektif tertentu bukan saja tidak mampu merapatkan jurang malah ia boleh pula berkonflik dengan usaha untuk merapat jurang itu.
Lantas dikhuatiri matlamat untuk merapatkan jurang kekayaan antara kumpulan seperti antara kaum melalui perkongsian kemakmuran yang dijuarai oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak akan tercapai.
Contoh pertama yang tepat ialah penjualan aset seperti yang dinyatakan pada para 36 – 39, ucapan Belanjawan. Kita difahamkan keperluan mendesak untuk menambah hasil kerajaan.
Namun tiga daripada empat kaedah yang dikemukakan itu adalah mencurigakan; sekalipun pada prinsipnya, ia adalah baik iaitu menjunjung prinsip ketelusan dan semangat persaingan.
Tiga kaedah tersebut ialah (a) mengurangkan pegangan kerajaan dalam syarikat bukan strategik; (b) melaksanakan model kerjasama awam swasta (Public-Private Partnership) melalui proses transaksi tukaran tanah; dan (c) menjual tanah secara berjadual.
Mekanisme yang akan digunapakai ialah tender terbuka atau dijual kepada pembida tertinggi untuk memaksimumkan hasil. Mekanisma ini belum tentu lagi adil kepada semua, terutama jika ia turut dibuka kepada orang asing, kerana padang yang tidak sama rata.
Yang demikian, sebelum ia dilaksanakan, perlulah dipastikan terlebih dahulu bahawa persaingan itu mestilah adil dan saksama.
Jika ia diteruskan tanpa apa-apa intervensi maka mekanisma berkenaan sudah pasti akan memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat besar, terutama syarikat asing, yang mampu memberi tawaran terbaik. Ini bermakna mekanisme tersebut akan menguntungkan kera di hutan.
Jika ia hanya terbuka di dalam negara, kerisauan masih bersarang sebab, dalam keadaan sekarang, kebanyakan syarikat besar dimiliki oleh satu kaum sahaja. Tidak inklusif.
Oleh itu dijangkakan outcome kaedah ini ialah jurang kekayaan antara kaum akan melebar lagi dan sekali gus menodai semangat yang dipacak dan ditasak di bawah Tonggak II, KSP RMK-11.
Matlamat
Guan Eng cuba meredakan kebimbangan ini dengan memberikan penjelasan, sila rujuk https://www.malaysiakini.com/news/450854. Namun penjelasan tersebut kurang meyakinkan kerana butiran kaedahnya tidak diterang. Kita mohon Guan Eng perjelaskan dengan lebih telus dan tulus lagi.
Contoh kedua yang berkait rapat dengan isu di atas ialah apa yang dizahirkan oleh Guan Eng pada para 179 dan 180 iaitu berhasrat untuk mengeluarkan (divest) syarikat-syarikat dalam sektor yang tidak strategik di bawah badan berkanun yang menghimpit atau crowding out sektor swasta.
Fenomena ini diakui ada berlaku dan telah menimbulkan rasa tidak puas hati pihak swasta, termasuk dalam kalangan usahawan bumiputera.
Antara punca utama ialah kemungkinan sebahagian besar pegawai generasi kedua dan ketiga ini tidak faham objektif asal badan berkanun seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri itu diwujudkan. Oleh itu, keadaan yang serong ini hendaklah diperbetulkan agar ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih cekap.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan hendaklah menjelaskan dengan jujur kaedah divestment yang hendak dilaksanakan itu supaya terhindar daripada tohmahan telunjuk lurus kelingking berkait. Adakah prinsip pelaksanaannya berpaksikan matlamat untuk merapatkan jurang kekayaan antara kaum yang berpayungkan konsep berkongsi kemakmuran?
Sesungguhnya pelaksanaan kedua-dua contoh tersebut adalah peluang serampang dua mata untuk merapatkan jurang kekayaan antara kumpulan dan meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera, jika ia dilaksanakan berpaksikan matlamat tersebut.
Namun ditegaskan bahawa peluang berkenaan hendaklah dibuka kepada bumiputera yang layak dan berkemampuan sahaja melalui mekanisma persaingan yang adil; bukan diberi kepada kroni.
Contoh ketiga ialah peruntukan untuk menaik taraf dan menyelenggara semua sekolah yang disenaraikan pada para 117. Apakah asas pemberian peruntukan tersebut?
Misalnya, Sekolah Kebangsaan mendapat RM250 juta manakala SJK(C) menerima RM50 juta, SJK (T) diberi RM50 juta dan SM Persendirian (C) pula menikmati RM12 juta. Secara purata, sebuah sekolah berkenaan masing-masing menerima RM27,778, RM38,521, RM93,985 dan RM200,000.
Dari segi jumlah nilai dan nilai purata, jelas ia tidak sama rata. Tetapi isunya bukanlah sama rata. Isunya ialah adakah ia adil dan saksama atau equitable?
Jika ia tidak saksama, maka peruntukan purata yang lebih kecil bagi Sekolah Kebangsaan berbanding sekolah-sekolah lain boleh menyebabkan jurang kesejahteraan hidup antara kaum dan antara bandar dan luar bandar bertambah luas.
Nampaknya kerajaan memang memberi perhatian untuk menambah pendapatan, terutama golongan B40 dengan harapan jurang pendapatan dapat dikecilkan.
Ini adalah kaedah lama yang hanya berjaya merapatkan jurang dalam kalangan (intra) kumpulan tetapi terbukti gagal untuk merapatkan jurang antara (inter) kaum, bandar dan luar bandar dan sebagainya.
Sekiranya keutamaan masih lagi tidak ditumpukan kepada merapatkan jurang antara kumpulan per se (gap centric) maka, seperti yang terbukti sejak tahun 2009, Belanjawan 2019 ini akan melebarkan lagi jurang tersebut!
* PENULIS ialah Pakar Perunding Ekonomi Majlis Perundingan Melayu (MPM).










