Julang Selangor, bukan rampas kuasa - Utusan Malaysia

Julang Selangor, bukan rampas kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 10 Nov. – Exco Persatuan Bola Sepak (FAS) sepatutnya bekerja keras untuk menaikkan semula prestasi Red Giants dan bukan cuba melakukan rampasan kuasa, tegas Presidennya, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kata Tengku Amir lagi, penyokong sudah muak dan penat dengan masalah dalaman FAS yang tidak ada kesudahan akibat tindakan pihak tertentu yang enggan menerima perubahan.

Katanya, banyak langkah mentrasformasikan FAS telah dilakukan sejak beliau menjadi Presiden termasuk mengurangkan hutang FAS dan memperbetulkan proses.

“Banyak benda kita nak bersih­kan dan kita kini sibuk siapkan pasukan untuk tahun depan tetapi dalam masa sama ada pula orang buat kacau, nak rebut kedudukan dan nak main politik.

“Kita tidak ada masa untuk perkara ini. Betulkah mereka ­ikhlas? Peminat semua dah penat dan marah, peminat nak FAS berubah dan kita harus hentikan semua benda mengarut ini serta fokus bangkitkan semula Red Giants,” katanya dalam sidang akhbar di Istana Mestika di sini hari ini.

Sekumpulan Exco mengadakan Kongres Luar Biasa (AGM) di sebuah hotel di Seri Kembangan kelmarin untuk memilih Ahli Jawatankuasa FAS baharu.

Tengku Amir dalam satu ke­nyataan semalam, bagaimanapun menegaskan ‘kongres’ tersebut tidak sah, tidak diiktiraf serta tidak mengikut prosedur yang betul, selain ditolak oleh beliau sendiri dan persatuan.

Tengku Amir dalam pada itu menegaskan tidak meng­endahkan desakan yang mahu beliau berundur sebaliknya akan kekal menjadi Presiden.

“Pertama sekali AGM tidak sah, jadi apa yang dia cakap saya tidak ambil kisah pun. Bagi saya apa yang mereka buat adalah tindakan kebudak-budakan tanpa asas peraturan berdasarkan statut,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan tata tertib akan diambil terhadap Exco terlibat, Tengku Amir tidak menolak kemungkinan itu tetapi akan berbincang dengan peguam dan FAS terlebih dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN