JPP perlu segera bertindak isu ahli PKR Julau - Utusan Malaysia

JPP perlu segera bertindak isu ahli PKR Julau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) diminta segera bertindak menyelesaikan isu penambahan jumlah pengundi tidak berdaftar dalam pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Julau, Sarawak.

Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini berikutan bukti yang dikemukakan berhubung isu tersebut adalah kukuh dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

“Masalah ini amat serius yang boleh menjahanamkan parti.

“PKR berbicara tentang reformasi dan tegur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam perlaksanaan mereka dalam Pilihan Raya Umum sebelum ini. 

“Justeru, JPP serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu mengambil serius perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas program Taklimat Pembangunan Selangor di Pekan Lama di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu peningkatan mendadak ahli PKR di Julau, Sarawak daripada sekitar 600 kepada 13,000 sehingga mendorong Ketua Penerangan PKR negeri, Vernon Kedit membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bulan lalu untuk menentukan kesahihan ahli tersebut. 

Mohamed Azmin turut menegaskan JPP harus memastikan pemilihan cabang terutama di Julau esok berlangsung dengan telus, adil dan bersih. 

“Isunya adalah kelayakan mengundi. Kalau tidak termasuk dalam kategori (pengundi) bermaksud mereka tidak layak mengundi. 

“Ini sememangnya tidak boleh diterima dan saya amat menyokong pendirian Ahli Biro Politik PKR, R. Sivarasa (bagi menolak calon yang memanipulasi jumlah pengundi tersebut),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN