Jong pengerat silaturahim - Utusan Malaysia

Jong pengerat silaturahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 8 Nov. – Permainan jong pastinya asing bagi generasi muda, namun suatu ketika dahulu sukan tersebut amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

Walaupun semakin dilupakan, namun sukan tersebut masih digemari oleh masyarakat, khususnya golongan veteran serta nelayan dan Tanjung Piai, dekat sini amat sinonim dengan permainan berkenaan.

Kini pelbagai usaha dilakukan untuk membugarkan kembali sukan tersebut dengan menganjurkan pertandingaan jong, terutamanya pada bulan Ogos dan September sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Pengerusi Persatuan Jong Tanjung Piai, Khalid Awang, 75, berkata, permainan tersebut amat digemari golongan nelayan di Mukim Serkat bagi mengisi masa lapang selepas penat turun ke laut menangkap ikan.

Menurutnya, setiap kali diadakan, pertandingan itu mampu menarik 30 hingga 40 peserta dalam kalangan penduduk tempatan mahupun jemputan khas dari Singapura dan Kepulauan Riau, Indonesia.

“Sebuah jong yang dibina dan dipasang dengan layar yang baik mampu mencapai kelajuan sehingga 40 kilometer sejam dan jika angin bertiup kencang, boleh meluncur lebih laju daripada bot berkuasa 15 kuasa kuda,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas pertandingan jong peringkat daerah di Jeti Nelayan Tanjung Piai, baru-baru ini.

Pertandingan tahunan tersebut dirasmikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Suhaizan Kaiat serta dihadiri Menteri Pertandingan dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Khalid berkata, jong akan dilepaskan 500 meter dari laut menuju ke garisan penamat di kawasan pantai dan yang pertama sampai dinobatkan sebagai pemenang.

Jong biasanya dibuat daripada kayu pulai dan mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan serta dijual pada harga RM300 hingga RM1,000 setiap sebuah, bergantung terhadap saiz dan hiasan, katanya sambil mengakui jong buatannya turut mendapat pengiktirafan apabila menerima tempahan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Pembuatan jong ini secara tidak langsung memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk tempatan selain dijadikan cenderamata kepada pelancong, sekali gus menarik ramai pelancong ke kawasan ini semasa pertandingan diadakan,” katanya yang telah beberapa kali memenangi pertandingan peringkat tempatan dan Tanjung Balai, Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN