KOTA BHARU – Jodoh adalah kunci pembawa rezeki dan kenyataan ini dibuktikan pasangan suami isteri, Mohamed Fariz Rosli, 35, dan Nurzahira Zulkifli, 35, melalui kejayaan perniagaan kek mereka.
Pasangan itu yang berkahwin sejak setahun lalu mengusahakan sebuah kedai kek dan pastri, Yaya Cakes di Jalan Kubang Tuman berhampiran Taman Perbandaran Tengku Anis di sini sejak 30 November tahun lalu.
Nurzahira yang dahulunya seorang arkitek mula mempromosi kek premium yang dibuat di rumah sejak 2014 melalui laman sosial.
Secara purata, mereka menerima tempahan sebanyak lima biji kek seminggu tetapi setelah berkahwin dan membuka kedai, jumlah tempahan melonjak kepada purata 55 biji kek seminggu.
“Dahulu saya bekerja sebagai arkitek projek di sebuah firma selama beberapa tahun sebelum berhenti kerana komitmen untuk menguruskan adik yang sakit. Apabila memikirkan ada sedikit kemahiran yang diwarisi daripada arwah ibu maka saya mula membuat kek untuk sumber pendapatan.
“Saya amat berterima kasih kepada suami yang menunjukkan cara pemasaran kek yang betul. Dia bijak membuat promosi dan tahu kehendak pembaca apabila melayari laman facebook dan Instagram, Yaya Cakes,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nurzahira berkata, dia dan suami yang merupakan lulusan Teaching English As A Second Language (TESL) tidak mempunyai latar belakang secara formal dalam pembuatan kek.
“Minat dalam pembikinan resepi premium dan citarasa amat tinggi, saya turut belajar melalui kelas masakan termasuk di Kuala Lumpur,” katanya.
Wanita ini memberitahu, kisah cinta mereka bermula selepas dia menempah sejenis pastri ‘cream horn’ hasil air tangan Mohamed Fariz pada Mac 2016 selepas mendapat khabar mengenai keenakannya.

“Kemudiannya suami pula yang menempah kek ‘Mango Passion’ buatan saya dan telah memberi ulasan yang baik dalam laman instagram miliknya ‘dutakelantan’ yang mempunyai lebih 33,000 pengikut,” katanya. – K! ONLINE











