JOHOR BAHRU – Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor berjaya mematahkan cubaan satu sindiket menyeludup masuk 300 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM18 juta apabila menahan sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pasir Gudang di sini pada 1 November lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, dua lelaki warga tempatan berusia 30 dan 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Berdasarkan maklumat awam yang diterima, Cawangan Narkotik JKDM negeri berjaya menahan satu kontena 20 kaki dalam keadaan mencurigakan di Pelabuhan Tanjung Pelepas.
“Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut mengandungi dua unit tangki air, 50 unit kotak kosong dan 30 unit penapis air sebelum pemeriksaan lanjut kita menemui dadah jenis methamphetamine yang disorok dalam tangki dan penapis air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara Kastam di sini hari ini.
Subromanium berkata, hasil siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai diseludup dari luar negara sebelum memasuki negara ini melalui pelabuhan PTP di sini.
Jelasnya, pihak JKDM masih menjalankan siasatan lanjut kes tersebut sama ada untuk pasaran negara ini atau untuk ke negara lain. – K! ONLINE.











