KUALA TERENGGANU 12 Nov. – Program Umrah Yayasan 1Ummah diteruskan lagi musim ini dengan penghantaran seramai 23 jemaah.

Penasihatnya, Datuk Jailani Ngah berkata, kumpulan pertama melibatkan 17 jemaah akan berlepas ke pada 29 November ini, dan selain imam, mereka yang terpilih adalah guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bekas pegawai kerajaan yang berjasa di samping ibu tunggal.
Katanya, tahun ini buat kali pertama yayasan itu menaja anggota pasukan keselamatan yang muncul sebagai johan tilawah al-Quran peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu 2018 dan inisiatif tersebut bakal diteruskan pada tahun depan.
“Pemilihan Koperal Mohd. Zamzuri Irwan Mat Jusoh yang juga merupakan johan dua kali Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat antarabangsa adalah tepat dalam usaha untuk memartabatkan syiar Islam.
“Saya juga difahamkan dia belum pernah menunaikan umrah atau haji.
“Selain itu, Yayasan 1 Ummah juga akan memberikan satu lagi tajaan umrah kepada anggota polis yang sudah lama berkhidmat dengan rekod cemerlang,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita dalam majlis penyerahan surat tawaran umrah kepada Koperal Mohd. Zamzuri Irwan, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail.
Mohd. Zamzuri Irwan yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan mula menceburi tilawah sejak berusia 15 tahun bermula tahun 2000 dan sehingga kini sudah 18 kali menyertai. – UTUSAN ONLINE











