Jeff Sessions mangsa terbaharu Trump - Utusan Malaysia

Jeff Sessions mangsa terbaharu Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 8 Nov. – Presiden Donald Trump memecat Peguam Negara, Jeff Sessions yang sebelum ini bertindak menarik diri daripada siasatan berhubung campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden 2016.

Trump berkata, jawatan itu akan disandang sementara waktu oleh Ketua Staf Jabatan Kehakiman (DoJ), Matthew Whitaker, individu yang lantang mengkritik siasatan tersebut.

Dalam surat peletakan jawatannya, Sessions, bekas Senator Alabama dan merupakan penyokong kuat Trump, menjelaskan bahawa bukan beliau yang membuat keputusan untuk berundur.

“Kepada Tuan Presiden, atas permintaan anda, saya menye­rahkan surat peletakan jawatan,” tulis beliau dalam surat yang tidak bertarikh itu.

Beliau menulis, semasa di bawah pentadbirannya sebagai Peguam Negara, kedaulatan undang-undang negara berjaya dipulih dan dipertahankan.

Sementara itu Trump melalui Twitter miliknya mengucapkan terima kasih kepada Sessions atas perkhidmatannya, lapor portal BBC.

Semalam, Ketua Staf White House, John Kelly dilaporkan telah memanggil Sessions sebelum Trump mengadakan sidang akhbar bagi membincangkan keputusan pilihan raya perte­ngahan penggal.

Pada Julai tahun lalu, Trump memberitahu New York Times bahawa Sessions tidak sepatutnya menarik diri daripada siasatan tersebut.

“Beliau sepatutnya membe­ritahu saya jika mahu menarik diri sebelum menerima jawatan ini dan saya akan memilih orang lain,” katanya.

Sessions secara sukarela menarik diri selepas Demokrat menuduhnya gagal mendedahkan hubungan dengan Duta Rusia semasa pendengaran pengesahan Senat.

Dalam pada itu, terdapat laporan yang menyebut Penasihat Khas siasatan itu, Robert Mueller merupakan individu seterusnya yang akan dipecat.

Terdapat bayangan bahawa jika bekas Pengarah Biro Sia­satan Persekutuan (FBI) itu terlalu teliti dan berhati-hati seperti yang dilaporkan maka beliau perlu membuat perancangan bagi mengendali keputusan luar jangka itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN