KUALA TERENGGANU – Akibat terjatuh hingga mengalami kecederaan pada tulang belakang, Juliana Muhamed Awi, 17, terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pagi tadi.
Ibunya, Salbiah Ismail, 57, berkata, Juliana yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim terjatuh di rumahnya petang semalam ketika hendak masuk ke dalam rumah akibat memijak tangga kayu yang reput.
“Syukur ketika itu saya ada di rumah dan sempat mengangkat Juliana bangun. Apabila saya tengok dia tidak dapat menggerakkan badannya saya terus membawanya ke Hospital Setiu dan kemudiannya dirujuk ke HSNZ tengah malam tadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSNZ di sini hari ini.
Menurut Salbiah, Juliana tinggal bersama neneknya Minah Idris, 80, di Kampung Buluh, Setiu dan beliau pula tinggal di Kajang, Selangor namun pulang ke kampung bagi memberi sokongan kepada anak tunggalnya itu.
Juliana terpaksa menjawab soalan dalam keadaan berbaring akibat daripada kecederaan yang dialami dan akan menjalani pemeriksaan X-Ray selepas tamat menjawab peperiksaan Bahasa Melayu kertas II, petang ini. – Bernama











