Jasmine minta utamakan kebajikan rakyat - Utusan Malaysia

Jasmine minta utamakan kebajikan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 14 Nov. – Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Johor (Jasmine) menyeru semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan perseorangan membantu golongan sasar terutama aspek kebajikan.

Pengerusinya, Datin Nora Mohd. Som berkata, usaha yang dilaksanakan secara bersama-sama itu dapat memastikan kebajikan insani rakyat terus terpelihara.

“Usaha murni menerusi program amal perlu diteruskan dalam kalangan masyarakat ke arah melahirkan individu yang sentiasa peka dengan kea­daan sekeliling, seterusnya membantu bangsa Johor yang berbilang kaum ini.

“Jasmine komited dalam menjalankan pelbagai inisiatif membantu golongan yang memerlukan seperti orang miskin, orang kurang upaya (OKU), anak yatim, ibu tunggal terutamanya di negeri ini,” katanya berucap merasmikan program Kembali Ke Sekolah di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jasmine, Prof. Dr. Naomie Salim.

Nora berkata, Jasmine sebagai NGO yang berkonsepkan amal kebajikan akan terus menjadi pemacu kepada wanita di negeri ini dalam usaha memperkasakan peranan golongan itu supaya martabat dan pembabitan wanita dapat dipertingkatkan.

“Seperti cantiknya warna merah jambu pada logo Jasmine, begitulah pendekatan yang akan dibawa oleh pertubuhan ini, berbudi, penuh kasih sayang dan prihatin dalam mendekati golongan yang memerlukan perhatian.

“Mereka ini adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu kita sama-sama bantu,” katanya yang juga isteri Menteri Besar Johor.

Program yang julung kali dianjurkan itu turut mendapat kerjasama Mutiara Johor Corporation, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Rustica Furniture.

Dalam majlis itu, seramai 100 murid daripada enam sekolah rendah sekitar daerah ini menerima kelengkapan sekolah sebagai persiapan awal persekolah pada tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN