KUALA KANGSAR 4 Nov. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menyeru Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri agar tidak mengecewakan kepercayaan baginda dan amanah yang diberikan rakyat.
Baginda bertitah, harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang adil lagi
saksama berlandaskan undang-undang hendaklah direalisasikan secara bersama oleh pihak-pihak yang berkenaan.
“Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi. Harapan rakyat hendaklah direalisasikan secara bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), hakim, ulama, umara, tentera, polis, badanberuniform yang diberikan amanah supaya negeri ini terus dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.
“Demikian jua seruan beta kepada pihak swasta, badan sukarela, badan kebajikan, pertubuhan belia, badan sukan serta rakyat agar saling bekerjasama memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Berangkat sama pada majlis istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Besar Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi serta beberapa ahli Exco kerajaan negeri.-UTUSAN ONLINE










