SHAH ALAM – Orang Melayu tidak sepatutnya gusar tentang isu ditimbulkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencabar kedudukan istimewa kaum itu kerana perkara berkenaan jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata hak orang Melayu sentiasa berada pada asas yang kukuh kerana bukan mudah untuk meminda mana-mana perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, ini kerana sebarang pindaan perlembagaan perlu melalui pelbagai peringkat antaranya meraih dua pertiga sokongan di Parlimen, sehingga mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja.
Menyifatkan perjuangan mempertahankan hak-hak Melayu, agama Islam dan tanah air merupakan fokus utama PPBM, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, peranan itu terus diperhebatkan parti berkenaan dengan pendekatan yang lebih baik berbanding UMNO sebelum ini.
“Disebabkan parti yang menjaga Melayu sebelum ini (UMNO) ibarat gagal memperjuangkan hak berkenaan kerana kelakuan sesetengah pemimpin yang mendahulukan kepentingan diri sendiri, kita boleh lihat berlaku kemerosotan sokongan kepada mereka. – Bernama










