KANGAR – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis, Mohammad Faisol Abd. Rahman meminta supaya pemilihan jawatan Timbalan Presiden parti itu berlaku dengan adil, telus dan sempurna tanpa wujudnya ‘tangan-tangan ghaib’ yang mengganggu proses pengundian itu.
Mohammad Faisol berharap proses pemilihan itu berlangsung dengan baik yang melibatkan kedua-dua calon iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.
“Siapa yang terpilih merupakan pilihan ahli parti namun, biarlah proses pemilihan berlaku dengan sempurna tanpa sebarang gangguan.
“Kedua-dua calon mempunyai kelebihan tersendiri namun bagi saya gandingan Azmin dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan gandingan yang mantap untuk meneruskan kegemilangan parti dan kepimpinan negara,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Kosmo! melaporkan hari ini, Azmin semakin jauh meninggalkan pencabarnya, Rafizi pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Setakat ini, Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi meraih 59,594 undi keseluruhan sekali gus meninggalkan Rafizi yang mendapat 56,392 undi.
Dengan majoriti 3,175 undi, Azmin memerlukan pukulan terakhir untuk mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PKR menjelang minggu terakhir pemilihan parti itu di Sarawak pada Sabtu ini.
Pada pemilihan di Sabah minggu lalu, Azmin memperoleh 9,325 undi berbanding Rafizi yang mendapat 7,714 undi melibatkan pengundian di 22 daripada 25 cabang PKR Sabah. – K! ONLINE










