KOTA BHARU 1 Nov.– Satu majlis jamuan laksa mengisi dana bagi pembinaan bangunan baharu Masjid Al Mukminin Sri Cemerlang di pekarangan pejabat Nukima Sdn Bhd di sini pada Jumaat ini dari pukul 12 tengah hari hingga 5.30 petang.
Pengerusi jawatankuasa masjid, Datuk Norzakiman Othman berkata, tidak ramai mengetahui bahawa di sebalik 20 unit rumah setinggan yang hangus terbakar di Jalan Sri Cemerlang di sini pada 29 September lalu wujudnya masjid lama yang menjadi satu-satunya bangunan yang terselamat.
Beliau berkata, masjid satu tingkat berusia 40 tahun yang dibina menggunakan kayu terpakai itu didirikan dalam kawasan setinggan sejak 1978 namun pihaknya sejak awal tahun ini telah menandatangani perjanjian dengan pemilik tanah untuk membina kompleks masjid baharu di situ.
“Selepas menerima notis pengosongan lot pada 2012, kami membuat keputusan membina masjid baharu dan telah menandatangani perjanjian membeli tanah dengan pemilik pada awal tahun ini dengan bayaran berjumlah RM1.8 juta yang perlu diselesaikan sebelum tarikh matang pada 19 Januari tahun hadapan
“Sebahagian bayaran sudah diselesaikan tetapi sekarang kami terdesak mengumpul wang berjumlah RM805,000 dalam tempoh dua bulan ini kerana antara prasyarat perjanjian adalah jika tanah itu sudah ‘bersih’ maka bayaran penuh perlu disegerakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Norzakiman memberitahu, semasa kebakaran besar bulan lalu, hanya sedikit bahagian dinding masjid yang terjejas dan kini operasi masjid berpindah ke bangunan bersebelahan iaitu Damai Terapi Homestay sementara kerja baik pulih dijalankan.
Beliau berkata, pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad (03-139-01-001634-8) dan Maybank Islamic (5530-3859-2961) di bawah nama Masjid Al-Mukminin Sri Cemerlang.
Untuk sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Norzakiman di 019 9144441.










