Jamal Khashoggi anggota pengganas? - Utusan Malaysia

Jamal Khashoggi anggota pengganas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 2 Nov. – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman didakwa menyifatkan wartawan, Jamal Khashoggi sebagai anggota kumpulan pengganas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohammed dilaporkan berkata demikian dalam satu perbualan telefon dengan White House selepas Jamal dilaporkan hilang, iaitu sebelum Arab Saudi mengaku lelaki itu telah dibunuh.

Dalam perbualan telefon dengan menantu lelaki Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Do­nald Trump iaitu Jared Kushner dan Penasihat Keselamatan Kebangsaan, John Bolton, beliau mendakwa Jamal adalah anggota sebuah organisasi pengganas antarabangsa.

Lapor BBC, Arab Saudi bagaimanapun menafikan dakwaan yang dicetuskan oleh Was­hington Post dan New York Times.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan keluarga Jamal dalam Washington Post, mereka menolak dakwaan Mohammed dan Jamal sebelum ini telah berkali-kali menafikan sebarang pembabitan dalam kumpulan tersebut.

“Jamal bukanlah seorang lelaki yang berbahaya. Untuk menuduh dia sebegitu, adalah tidak masuk akal,” jelas kenya­taan berkenaan.

Jamal, seorang rakyat Arab Saudi yang bekerja sebagai ko­lumnis dengan Washington Post, merupakan pengkritik kerajaan Riyadh.

Dia dilaporkan dibunuh di dalam bangunan Konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu tetapi mayatnya masih belum ditemukan sehingga hari ini.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menyatakan sekatan terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap pem­bunuhan Jamal mungkin mengambil masa beberapa ming­gu lagi berikutan kurang­nya bukti kukuh.

“Kami sedang meneliti untuk mengenakan sekatan terhadap beberapa individu yang dikenal pasti terbabit,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pegawai tertinggi Turki, Yasin Aktay berkata, beliau percaya mayat Jamal dilarutkan dalam asid setelah dipotong-potong.

Beliau berkata, ‘ini adalah kesimpulan yang paling logik’ untuk menghapuskan bukti tanpa dikesan. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN