KUALA LUMPUR 14 Nov. – Seramai 20 mahasiswa dari pelbagai universiti tempatan berjalan kaki sejauh sembilan kilometer dari Universiti Malaya ke Parlimen bagi membantah penetapan jadual pembayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang digariskan dalam Belanjawan 2019.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Faizuddin Mohd. Zai berkata, kesemua mahasiswa terbabit kecewa apabila mereka dilarang masuk ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
“Kami ingin memberitahu Maszlee bahawa beliau seorang yang hipokrit. Beliau melontarkan suara demokrasi tetapi membiarkan kami berjalan kaki sejauh sembilan kilometer dan tunggu di tepi jalan.
“Seolah-olah kami tidak ada apa-apa. Ya, memang kami tiada apa-apa, bukan seperti syarikat besar yang boleh melobi kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya di hadapan bangunan Parlimen hari ini.
Pada 2 November lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan dalam Belanjawan 2019 bahawa pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.
Dalam masa sama, Muhammad Faizuddin turut menjelaskan siswazah yang berpendapatan RM1,000 sebulan perlu menanggung hutang sebanyak RM400 untuk meneruskan hidup.
Katanya, pengiraan itu telah dimasukkan ke dalam memorandum yang ingin diserahkan kepada Maszlee dan diterima oleh pegawai khas Maszlee, Abdul Hannaan Khairy.
“Apabila menteri hanya hantar wakil untuk mengambil memorandum ini ibarat beliau membakulsampahkan suara mahasiswa,” katanya.










