KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini, bertitah mahu melihat anak Pahang menjadikan semua 74 perpustakaan di negeri ini sebagai gedung menuntut ilmu.
Baginda bertitah, sikap suka membaca bahan bacaan berkualiti dapat membina generasi masa hadapan Pahang yang berilmu, berhemah, berintegriti dan berpengetahuan yang berada di landasan terbaik.
Secara spontan, Tengku Abdullah menasihatkan anak-anak muda Pahang untuk tidak mencontohi perbuatan baginda yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat beristirehat.
“Saya memang ada cerita tentang perpustakaan semasa saya belajar di England… saya banyak habiskan masa di perpustakaan untuk membuat homework dan kadang-kadang selepas bermain bola, saya perlukan tempat berehat.
“Jadi, antara kawasan yang sunyi dan nyaman adalah perpustakaan… kita niat nak buat homework juga, tapi sebab badan letih jadi tertidur di situ. Bukan hanya tertidur, tapi siap berdengkur sehingga dikejutkan oleh guru yang menyatakan di situ bukan tempat untuk tidur atau makan,” titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah demikian semasa berucap merasmikan Bangunan Perpustakaan Awam Pahang sempena memuliakan Ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Jalan Kemunting di sini, hari ini.
Turut berangkat ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan majlis juga dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan kerajan negeri.
Baginda dalam ucapannya juga berkenan untuk menamakan perpustakaan yang bernilai RM48 juta yang dibina di tanah seluas 1.6 hektar sebagai Perpustakaan Sultan Haji Ahmad Shah, sebagai memuliakan Sultan Pahang yang mencintai ilmu dan buku.
Titah Tengku Abdullah, Sultan Ahmad Shah mempunyai koleksi buku yang sangat banyak dan menjadikan membaca sebagai amalan beristirehat pada masa lapang. – Bernama










