KUALA LUMPUR 19 Nov. – Kehidupan sebagai seorang atlet bukan penghalang kepada gimnas kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial (Pengajian Antarabangsa) dari Universiti Monash.
Atlet berusia 24 tahun itu berkongsi kegembiraan menghadiri majlis konvokesyen yang berlangsung semalam menerusi laman Instagram peribadinya.
Menerusi akaun tersebut, Farah memuat naik beberapa keping gambar dirinya bersama keluarga serta rakan-rakannya bagi berkongsi keceriaan selepas berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat universiti.
“Saya menyayangi keluarga saya yang sentiasa memberikan dorongan untuk saya menjadi lebih baik. Mereka sentiasa memberikan motivasi serta menjadi inspirasi untuk mencapai sesuatu yang lebih baik. Terima kasih atas segala pengorbanan yang telah diberikan selama ini.
“Saya juga berterima kasih kepada kawan-kawan yang sentiasa bersama sama sepanjang di universiti dan mereka sentiasa menyiapkan tugasan pada saat-saat akhir,” katanya menerusi laman Instagram miliknya.











