ALOR SETAR 11 Nov. – Isu penoreh yang pendapatan mereka terjejas akibat kejatuhan harga getah sejak beberapa bulan lalu, akan dibangkitkan dalam perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat agar kerajaan Pusat mempertimbangkan semula sejumlah peruntukan khusus untuk golongan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya yakin akan ada sedikit ruang untuk mendapatkan peruntukan untuk membantu golongan penoreh kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ada menyebut bahawa akan ada peruntukan tambahan bagi Belanjawan 2019.

“Belanjawan belum diluluskan sehingga berakhirnya perbahasan dan kali ini sidang dewan berlangsung selama dua bulan dan dalam tempoh itu banyak perkara akan dibahas termasuk isu ini.
“Bagi pihak Kedah, saya dan ahli Parlimen lain akan bangkitkan isu ini, malah negeri-negeri lain yang rakyatnya bergantung kepada hasil getah juga akan buat perkara sama,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata, untuk sementara waktu, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan keperluan harian kepada golongan penoreh bagi meringankan beban mereka.– Bernama










