KOTA BHARU – Seorang isteri buntu apabila suaminya hilang tanpa khabar berita sejak Julai tahun lalu selepas didakwa menjadi mangsa culik lima lelaki di Jalan Pekeliling, Taman Maju di sini.
Menurut Nur Azra Syazwani Abdullah, 25, dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam pada 5 Julai 2017 dia serta suaminya, Mohamad Aiman Zafri, 25, baru pulang dari tempat kerja menaiki sebuah kereta Perodua Kancil.
“Semasa berhenti di sebuah kedai runcit di Taman Maju, sebuah kereta jenis Kia berhenti di sebelah kereta kami. Tiba-tiba tiga lelaki bersenjatakan kayu keluar dari kereta tersebut dan memaksa suami saya masuk ke kereta mereka.
“Saya sempat melihat dua lagi lelaki berada di dalam kereta tersebut. Suami digari dan dibawa lari dari lokasi kejadian. Lima minit kemudian, suami menghubungi meninggalkan pesan supaya menghubungi adik ipar untuk mengambil saya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.
Keluarga tersebut terpaksa menggunakan wang hantaran perkahwinan adik lelaki mangsa untuk pembayaran tebusan.
“Saya, ibu mentua dan kakak ipar diarahkan meninggalkan wang tunai RM20,000 itu di sebuah perhentian bas di Batu Karang, Rantau Panjang kira-kira pukul 8 malam pada 14 Julai 2017.
“Setelah berbuat demikian, kami diminta mengambil mangsa di Pengkalan Lubok, Rantau Panjang. Namun, kami menunggu hingga pukul 1 pagi kelibat mangsa tetap tidak kelihatan,” katanya yang turut membayar sejumlah RM2,000 ke dalam satu akaun bank seorang wanita pada 28 Julai 2017.
Suspek kemudian ada menghubungi keluarga itu lagi untuk mendapatkan baki wang tebusan sebanyak RM28,000 dan kali terakhir mendapat berita tentang mangsa pada 13 Ogos tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Noor Halim Nordin ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. – K! ONLINE










