KUALA TERENGGANU 3 Nov. – Peruntukan RM50 juta sebagai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 semalam tidak memberi banyak manfaat kepada kalangan pekebun kecil.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ini kerana mereka hanya menerima sokongan pendapatan IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram.
“Apa nilai RM2.20 sekilogram untuk seorang penoreh? Inilah harga purata getah yang ‘dinikmati’ oleh mereka sejak sekian lama.
“Ini tidak cukup untuk menampung keperluan kehidupan harian yang minimum,” katanya ketika mengulas mengenai belanjawan bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera di sini hari ini.
Sehubungan itu, Azman menggesa Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar kejatuhan harga getah di bawah paras RM2.20 sekilogram untuk melayakkan mereka menerima sokongan pendapatan daripada IPG.

“Rata-rata pekebun mencadangkan agar meletakkan harga lantai getah pada paras minimum RM4 sekilogram.
“Pada kadar itu, mereka tidak lagi memerlukan apa-apa bantuan khas yang lain seperti bantuan musim tengkujuh dan sebagainya.
“Saya juga yakin selepas pelaksanaan Belanjawan 2019, harga getah akan stabil pada paras RM2.20 sekilogram sekali gus IPG tidak perlu dibayar kepada pekebun,” katanya.










