Institusi ekonomi diterajui kerajaan masih relevan – MPM - Utusan Malaysia

Institusi ekonomi diterajui kerajaan masih relevan – MPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Kese­mua kelompok institusi ekonomi milik atau diterajui kerajaan ketika ini adalah masih relevan, wajib dikekalkan malah perlu diperkukuhkan fungsi dan kaedah serta peranannya.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad (gambar) berkata, institusi ekonomi milik atau diterajui kerajaan ini sama ada di peringkat kerajaan nege­ri ataupun Persekutuan adalah ditubuhkan untuk melaksanakan ti­ga teras Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang hingga kini masih belum terlaksana sepenuh­nya iaitu mewujudkan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan peluang pemilikan ekuiti.

“Malangnya, kerajaan dilihat lebih ghairah untuk melupuskan semua aset-aset pegangannya dalam pelbagai kelompok institusi itu sekali gus menggambarkan kerajaan kini ketandusan ilham untuk menjana perolehan, hanya dengan melakukan pelupusan aset.

“Sepatutnya dengan kebijaksanaan mereka, aset-aset itu sewajarnya di­­pergunakan sebaik mungkin untuk menjana perolehan, bukan dengan cara pelupusan,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambahnya, strategi kerajaan melupuskan semua aset pegangannya seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2019 di bawah Strategi Ketiga (Meningkatkan Hasil Kerajaan) adalah satu muslihat sesetengah pihak dalam kerajaan untuk kembali melaksanakan amalan kronisme.

“Strategi tersebut adalah satu taktik bagi menghalalkan kroni-kroni berkenaan untuk melupuskan aset kerajaan atas alasan kerajaan memerlukan dana de­ngan segera melunaskan hutang tertunggak,” katanya.

Sementara itu, tambah Dr. Hasan, MPM turut menolak cadangan Belanjawan 2019 menerusi strategi kesebelas iaitu Mendefinasi Semula Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan.

“Selagi ketiga-tiga teras itu be­­lum terlaksana sepenuh­nya, selagi itulah menjadi urusan kerajaan untuk menerajui urusan perniagaan negara ini. Makna­nya, kesemua kelompok institusi ekonomi yang dinyatakan seperti agensi enterprais awam (PEA), syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan jaminan kerajaan (GLIC) wajib terus berpera­nan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN