PUTRAJAYA 8 Nov. – Sebanyak 50,000 pengunjung dijangka hadir ke Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDESA) 2018 yang akan berlangsung pada 15 hingga 18 November ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, ekspo itu yang bertemakan Inovasi Pemacu Produk Berkualiti bakal menjadi platform penting bagi memperkenalkan dan mengetengahkan inovasi, teknologi serta pengaplikasian terkini model baharu perniagaan khususnya kepada usahawan luar bandar.
Jelas beliau, ia bagi menjadikan usahawan desa lebih inovatif, progresif dan berdaya saing sejajar dengan landskap ekonomi luar bandar seterusnya melonjakkan perniagaan desa ke peringkat global.
“INOTEKDESA 2018 juga akan menemukan usahawan-usahawan desa dengan pembekal teknologi dan inovasi dalam meningkatkan pengeluaran produk serta perkhidmatan yang lebih berkualiti.
“Dengan penglibatan lebih 400 pempamer, pihak kementerian sebagai penganjur menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM10 juta termasuk jualan mesin-mesin untuk sepanjang empat hari ekspo ini berlangsung,” katanya dalam Taklimat Media sempena INOTEKDESA 2018 di sini hari ini.
Menurut Rina, INOTEKDESA 2018 merupakan salah satu program di bawah teras keusahawanan dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar yang dilancarkan pada 29 Oktober lalu.
Beliau berkata, ekspo itu yang merangkumi pameran teknologi, inovasi dan mesin serta jualan produk dan perkhidmatan usahawan desa, terbahagi kepada sembilan kluster perniagaan.
Kluster-kluster itu ialah makanan dan minuman, perkhidmatan, gaya hidup, kesejahteraan, pertanian, pembinaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kreatif ICT, teknologi tinggi dan otomotif.

“Selain itu, INOTEKDESA 2018 juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung seperti cabutan bertuah harian dan bonanza, persembahan artis dan buskers, pertunjukan fesyen, demonstrasi masakan dan pertandingan mewarna.
“Aktiviti lain turut diadakan adalah seperti permainan e-sport, pertandingan robotik, pencarian harta karun, permainan tradisional dan persembahan bola sepak gaya bebas,” katanya.
Dalam pada itu, Rina berkata, pihaknya masih membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk menjadi penaja.
Ujarnya, penaja akan menerima pelbagai manfaat dan faedah antaranya berpeluang memperkenalkan produk mereka melalui gerai yang diletakkan di kawasan strategik dalam ruang pameran.

“Penaja juga berpeluang mendapatkan pelepasan cukai perniagaan, mendapat publisiti melalui promosi yang dilakukan pihak kementerian dan didaftarkan sebagai pembekal perkhidmatan untuk usahawan yang berjaya mendapatkan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), SPED NANO, geran Desa Lestari dan program lain di bawah kementerian serta agensi-agensinya.
“Untuk maklumat lanjut mengenai INOTEKDESA 2018, boleh layari laman web www.rurallink.gov.my atau portal rasmi inotekdesa.rurallink.gov.my serta laman Facebook Inotekdesa atau Instagram inotekdesa,” katanya.










