JOHOR BAHRU 14 Nov. – Wanita yang ditikam dan dikelar di leher di Kipmart, Masai dekat sini Sabtu lalu, diperlakukan sedemikian oleh suaminya kerana dia ingin bercerai dengan lelaki itu.
Menurut sumber, suami mangsa yang ‘naik gila’ bertindak mencederakan mangsa selepas bertengkar dengannya kerana tidak setuju mereka berpisah.
Difahamkan, sebelum ini rumah tangga pasangan tersebut di ambang perceraian kerana mangsa tidak tahan dengan sikap suaminya yang merupakan kaki pukul.

Lelaki itu yang melarikan diri selepas kejadian akhirnya ditahan di dalam sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Ulu Tiram, dekat sini pada pukul 2.30 petang semalam selepas empat hari bersembunyi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Norazam Shaari berkata, suspek berusia 24 tahun itu membuat pengakuan melakukan perbuatan berkenaan semasa soal siasat dijalankan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama enam hari sehingga 19 November ini untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, akhbar melaporkan seorang juruwang, 21, cedera parah apabila lehernya dikelar suaminya menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam.










