KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melancarkan infografik yang boleh menjadi panduan serta amaran awal kepada masyarakat bahawa seorang kanak-kanak itu mungkin menjadi mangsa dera.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata, ini kerana kes penderaan ke atas kanak-kanak bukan sahaja dilakukan oleh pengasuh malah juga oleh ibu bapa mereka sendiri termasuk dalam kalangan mereka yang terbabit dengan gejala dadah.
“Kita (kementerian) akan lancarkan infografik untuk memberi kesedaran terutama kepada ibu bapa apakah tanda-tanda yang menjadi ‘loceng amaran’ kepada kes seperti dera.
“Kanak-kanak yang dihantar ke mana-mana pun janganlah percaya sepenuhnya, ibu bapa pun ada kes seperti masalah dadah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seks Wanita dan Kanak-kanak (D11) di Bukit Aman hari ini.
Dalam pada itu, katanya, ketika ini pengasuh yang menjaga kurang daripada empat kanak-kanak pada satu-satu masa tidak perlu berdaftar di bawah kementerian namun mereka digalakkan untuk berbuat demikian. – Bernama










