NUSA DUA 1 Nov. – Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan levi terhadap eksport minyak sawit, menurut seorang menteri pada Khamis, ketika negara itu terus mengekalkan kedudukannya dalam pasaran antarabangsa bagi komoditi itu.
Menteri Penyelaras bagi Urusan Ekonomi Indonesia, Darmin Nasution dalam ucapannya pada persidangan industri di negara itu berkata, bahawa ‘penyesuaian’ terhadap levi terbabit adalah antara langkah yang bakal diambil.
Beliau bagaimanapun kemudiannya memberitahu pemberita bahawa perkara tersebut masih dalam perbincangan.
“Kita masih belum ada kedudukan terakhir,” kata Nasution di luar acara tersebut yang berlangsung di pulau Bali.
“Kita perlu mengira dengan teliti. Kita tidak mahu mengurangkannya hanya untuk menyebabkan harganya menjadi lebih rendah.
Indonesia, pengeluar utama dunia bagi komoditi itu, ketika ini mengenakan levi sehingga AS$50 (RM209.1) setiap tan terhadap pelbagai produk kelapa sawit.
Persatuan minyak sawit Indonesia, Gapki pada minggu lepas telah mencadangkan untuk mengurangkan levi eksport minyak sawit kepada AS$20 (RM83.65) setiap tan sehingga harga minyak itu mencapai AS$700 (RM2,927.7) setiap tan.
Harga rujukan kerajaan bagi minyak sawit mentah telah kekal di bawah AS$750 (RM3,136.8) setiap tan selama lebih setahun.
Darmin berkata, kerajaan akan membincangkan pelarasan levi itu secara intensif dalam tempoh dua bulan akan datang dan berharap untuk mencapai keputusan sekitar penghujung tahun. – REUTERS











