Indonesia akan ratifikasi perjanjian sawit dengan Pakistan - Utusan Malaysia

Indonesia akan ratifikasi perjanjian sawit dengan Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 9 Nov. – Kerajaan Indonesia akan menerus dan meratifikasikan perjanjian perdagangan bersama Pakistan bagi melindu­ngi eksport minyak sawit tahunannya bernilai AS$1.5 bilion (RM6.26 bilion) ke negara Asia Selatan itu, kata seorang menteri.

Indonesia merupakan pengeluar minyak sawit terbesar du­nia dan walaupun lebih dominan dalam eksport ke Pakistan, negara itu telah kehilangan sebahagian penguasaan pasaran kepada pengeluar kedua terbesar dunia, Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Darmin Nasution ber­kata dalam satu kenyataan bahawa perjanjian perdagangan istimewa (PTA) dengan Pakistan akan diratifikasikan oleh pre­siden, tanpa perlu persetujuan Parlimen.

Jika Indonesia tidak meratifikasikan perjanjian itu segera, Pakistan akan menamatkan PTA, menjadikan Indonesia kehilang­an pasaran minyak sawit mentah bernilai AS$1.46 bilion (RM6.10 bilion),” kata kenyataan itu.

Malaysia kemudiannya berpeluang untuk merebut bahagian pasaran itu, tambah ke­nyataan tersebut.

Pakistan dijangka membeli 70 peratus minyak sawit mentah dari Indonesia pada tahun ini, menurun daripada 80 peratus dalam tempoh dua tahun yang lalu, kata Pengerusi Persatuan Edible Oil Refiners Pakistan, Abdul Rasheed JanMohammed.

Beliau berkata, Malaysia telah mengambil sebahagian pasaran di Pakistan.

Pada 2017, Indonesia menca­tatkan lebihan dagangan AS$2.15 bilion (RM8.98 bilion) de­ngan Pakistan, daripada jumlah dagangan dua hala bernilai AS$2.63 bilion (RM10.99 bilion).

Indonesia juga dijangka me­ra­tifikasikan enam perjanjian lain yang telah ditangguhkan di Parlimen selama beberapa tahun tanpa penjelasan, tambah kenyataan itu.

Indonesia akan menandatangani perjanjian perkongsian ekonomi komprehensif dengan Australia sebelum akhir tahun ini, selepas pemimpin kedua-dua negara itu membuat keputusan mengenai cara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan dalam pelbagai bidang daripada kereta hingga kepada lembu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN