Ilmu bukan sekadar untuk dapat kesenangan hidup - Utusan Malaysia

Ilmu bukan sekadar untuk dapat kesenangan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU 11 Nov. – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menasihati graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) agar tidak menjadikan ilmu hanya untuk mendapatkan kesenangan semata-mata sebaliknya, ia perlu dihargai sebagai satu rahmat.

Justeru, baginda yang juga Canselor UUM bertitah, graduan diharapkan dapat memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan dengan mengaplikasi ilmu yang diperoleh demi kepentingan rakyat.

Titah baginda, graduan perlu bijak menganalisis persekitaran untuk mencari dimensi baharu serta tidak terlalu selesa selain harus bersiap siaga dari segi fizikal, mental dan rohani untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sesungguhnya pendidikan di universiti bukan semata-mata sekadar mendapatkan kelulusan untuk mencari pekerjaan tetapi ia merupakan satu tapak persediaan untuk meneruskan kehidupan yang sempurna di masa hadapan.

“Beta berharap para graduan dapat mengambil inspirasi ini agar dapat meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih berjaya kreatif dan produktif sehingga mampu menjadi pencipta kerja dan bukan sekadar pencari kerja,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu dalam pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-31 UUM di sini hari ini.

Turut berangkat sama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Seramai 6,156 graduan diraikan dalam majlis konvokesyen itu yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga 15 November dengan melibatkan sembilan sesi.

Pada tahun ini, seramai 4,726 graduan menerima sijil di peringkat ijazahh sarjana muda dan 1,430 lagi di peringkat sarjana dan doktor falsafah daripada 14 pusat pengajian.

Turut disampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada pelajar yang memperoleh pencapaian cemerlang dalam pengajian ijazah sarjana muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan, Noor Nahjiha Hussien dan pelajar sarjana muda Perbankan, Lee Pei Teng. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×