Ikhtiar kerajaan lama diteruskan - Utusan Malaysia

Ikhtiar kerajaan lama diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Belanjawan 2019 menyaksikan banyak perkara yang diperkenalkan kerajaan lama diteruskan oleh kerajaan baharu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara tersebut disifatkan beliau sebagai bagus dan memberikan gambaran ada ikhtiar dan usaha baik kerajaan terdahulu mahu diteruskan.

“Bantuan Sara Hidup jelmaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan, belanja bersesuaian untuk sektor kesihatan, perhatian lebih bersungguh kepada kelompok isi rumah berpendapatan rendah (B40), usaha latihan pembangunan kemahiran melalui Yayasan Peneraju.

“Ini semua adalah legasi daripada kerajaan lama. Tak ada idea baru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Namun begitu, Reezal Merican turut mengenal pasti beberapa kelemahan yang wujud dalam belanjawan Pakatan Harapan antaranya gagal melaksanakan janji tiada bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka yang berpendapatan kurang RM4,000 dan itu disifatkan pengkhianatan janji paling tinggi.

Ujarnya, tiada skim khas kepada petani, pekebun kecil serta penternak yang diperuntukkan lebih RM6 bilion dalam Bajet 2018 dan penumpuan dalam industri halal terlalu kecil.

Selain itu, kata beliau, peruntukan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) hanya RM100 juta menjadikan ruang semakin sempit untuk mendapat bantuan perniagaan.

“Secara keseluruhan, belanjawan ini mengesahkan kebergantungan berlebihan kepada pendapatan petroleum. Reformasi cukai tidak mampu menggantikan kekurangan sumber memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Ini hakikat yang tidak mampu dinafikan.

“Belanjawan 2019 saya sifatkan tidak memandang jauh ke depan. Belanjawan begini tidak mampu merangsang pertumbuhan ekonomi malah jika tidak diurus baik boleh merencatkan pertumbuhan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN