ICERD: Tiada siapa mahu jejaskan Islam sebagai identiti negara - Mujahid - Utusan Malaysia

ICERD: Tiada siapa mahu jejaskan Islam sebagai identiti negara – Mujahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Nov. – “Tiada sesiapa mahu menggadaikan prinsip negara serta menjejaskan agama Islam sebagai identiti Malaysia”.

Itu rumusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof selepas bertemu 34 orang yang mewakili 10 NGO Islam, wakil mahasiswa, ahli akademik dan peguam bagi membincangan isu berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurut Mujahid, pertemuan hampir tiga jam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya malam tadi berlangsung secara harmoni dengan semua pihak melontarkan pandangan, cadangan dan kebimbangan sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD.

Jelasnya, beliau mendengar dengan teliti dan amat menghargai segala pandangan yang diberi oleh pihak yang hadir.

“Antara rumusan yang boleh saya buat berhubung pertemuan malam tadi ialah, tiada sesiapa mahu menggadaikan prinsip negara serta menjejaskan agama Islam sebagai identiti negara ini.

“Insya-Allah, selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, hasil pertemuan pada malam tadi akan dibawa kepada pihak berwajib agar penelitian dapat dilakukan,” kata Mujahid dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mujahid pertemuan tersebut selari dengan pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar rundingan dilakukan terlebih dahulu sebelum menandatangani ICERD.

Sebelum ini beberapa pihak menyatakan kebimbangan terhadap ICERD  kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan hak kaum pribumi di Malaysia.-UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN