ICERD: PKR, Amanah mahu bincang di Dewan Rakyat, Kabinet - Utusan Malaysia

ICERD: PKR, Amanah mahu bincang di Dewan Rakyat, Kabinet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Nov. – PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) perlu dibincangkan secara teliti dalam Dewan Rakyat dan Kabinet sebelum mengambil sebarang tindakan atau keputusan rasmi.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, langkah itu meratifikasi konvensyen antarabangsa itu perlu dilakukan secara berhati-hati dan minda yang terbuka supaya tidak menimbulkan sebarang polemik dalam kalangan masyarakat.

“Biro Politik PKR tidak membincangkan secara mendalam mengenai ICERD namun saya berpendapat isu ini perlu dibincang dan dibahaskan dalam Dewan Rakyat bagi menyatakan pendirian semua ahli Parlimen.

“Tindakan meratifikasi instrumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara prinsip dasar adalah satu perkara baik tapi perlu ambil maklum mengenai kesannya terhadap undang-undang dan rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu Pengarah Strategi Amanah, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, konvensyen itu akan dibincangkan di peringkat Kabinet terlebih dahulu bagi mendapatkan keputusan secara kolektif.

Jelasnya, Amanah tidak mempunyai halangan untuk Pas mengadakan demonstrasi besar-besaran kerana itu adalah hak parti tersebut.

“Tidak mengapa, itu hak Pas. Kita tidak ada halangan kerana dalam kerangka besar demokrasi negara, kita hormat. Walau bagaimanapun, kita akan membincang di Kabinet sebelum memutuskan bersama Jemaah Menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN