BAGI penyokong Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan berhujah tiada apa yang perlu dirisaukan kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini – merujuk Perkara 4(1).
Maka, andai peruntukan konvensyen itu bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sekali pun, Perlembagaan akan tetap mengatasi ICERD dan hak istimewa Melayu serta bumiputera akan kekal.
Amboi, apakah semudah itu berhujah? Sedangkan jika sudah tahu kemungkinan bertentangan Perlembagaan untuk apa mahu beria-ia mendesak kerajaan meratifikasi perjanjian antarabangsa yang tidak cocok dengan Perlembagaan Persekutuan dan negeri.
Senang cerita, dari awal ruang tidak harus dibuka untuk sebarang perbahasan mengenainya apabila konvensyen itu ditandatangani kerana akan mengundang pula tekanan antarabangsa supaya meratifikasinya.
Ketika itu, bukan lagi satu dua pihak dalam negara, malah mulalah ada dari negara yang tidak tahu apa pun pasal sejarah Malaysia akan mengkritik peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang tidak kena di mata mereka.
Eh, Perlembagaan itu sudah cantik. Perkara 8 Perlembagaan dari Perkara 8 (1) hingga 8 (5) sudah menceritakan segalanya berkenaan soal kesamarataan berdasarkan skop Malaysia yang digarap mengambil kira sejarah rakyat dan kerajaannya yang panjang.
Ini termasuk dalam Perkara 8 (2) yang memberi pengecualian seperti mana dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan sendiri – antaranya merujuk kepada instrumen yang terkandung dalam Perkara 153.
Kewujudan Perkara 153 yang diperjuangkan pengasas negara sudah dipateri kemas dan terbukti tidak menjadi penyebab menindas mana-mana kaum atau agama kecuali segelintir mereka yang sering mempersoalkan dasar-dasar kerajaan kononnya perkauman hanya kerana menterjemahkan apa terkandung dalam Perlembagaan.
Oleh itu, tiada pasal buat apa nak cari pasal. Benar, ada negara yang menganggotainya berusaha membuat perlindungan bersyarat untuk melindungi peruntukan undang-undang yang tidak selari dengan ICERD seperti beberapa negara di Kepulauan Pasifik.
Lebih baik, titik noktah, tidak perlu ratifikasi. Penyokong ICERD pun tidak menjelaskan manfaat Malaysia jika menganggotai konvensyen ini seolah instrumen perundangan sedia ada masih tidak mencukupi.
Tak payahlah rumitkan keadaan, cukup katakan tidak. Amerika Syarikat (AS) sampai sekarang pun selektif atau memilih juga konvensyen antarabangsa untuk dianggotai apatah lagi untuk diratifikasi. Kenapa kita pula nak pulun semua. – UTUSAN ONLINE










