ICERD : Pasir Salak bergema lagi - Utusan Malaysia

ICERD : Pasir Salak bergema lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIMPUNAN Perpaduan Ummah di Pasir Salak pada Sabtu 17 November ini sekali lagi bakal menyaksikan kebangkitan orang Melayu dan umat Islam menentang secara tegas sebarang usaha halus untuk menggugat apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

 

Jika sebelum ini Himpunan Melayu Bangkit di tempat sama pada 1 September lalu dikatakan hanya melibatkan UMNO tetapi kali ini barisan kepemimpinan parti itu akan berada sepentas dengan kepemimpinan Pas diketuai oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seperti mana kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi yang akan turut berucap, perhimpunan tersebut adalah manifestasi ketegasan kedua-dua parti mendesak kerajaan menghentikan langkah-langkah yang boleh menjejaskan semangat Perlembagaan Persekutuan khususnya melibatkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Penulis yakin seperti biasa akan kedengaran suara-suara sumbang menentang perhimpunan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai perhimpunan rasis seperti mana berlaku dalam Himpunan Melayu Bangkit. Namun bagi peneraju utama Himpunan Perpaduan Ummah yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, ia hanyalah tuduhan songsang daripada kelompok yang gelisah ketika orang Melayu mahu bersatu.

“Perhimpunan ini tidak mempunyai unsur politik walaupun melibatkan kepemimpinan dua parti besar orang Melayu. Ini adalah perhimpunan yang benar-benar bertujuan untuk mempertahankan Perlembagaan khususnya melibatkan orang Melayu dan kepentingan Islam.

“Oleh itu saya seru kepada orang Melayu tanpa mengira apa juga ideologi politik atau latar belakang mereka supaya sama-sama turun memenuhi Pasir Salak bagi menunjukkan solidariti kita sebagai umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia sambil memberitahu selain Badan Perhubungan UMNO Perak diterajui Pengerusinya, Datuk Shaarani Mohamad, himpunan tersebut juga mendapat kerjasama Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Razman Zakaria.

Isu ICERD bukanlah perkara kecil. Janganlah kerana ada pemimpin politik yang akan berucap maka ada orang Melayu menyempitkan minda mereka untuk melihat himpunan tersebut bagi menentang konvensyen tersebut bermotifkan politik.

Apa yang dilakukan oleh UMNO dan Pas itu merupakan kesinambungan perjuangan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini yang turun ke jalanan bagi membantah ICERD tersebut. Dan kesemua suara-suara penentangan ini harus diterjemahkan dengan lebih lantang pada 17 November ini.

Orang Melayu perlu benar-benar bersatu kali ini. Janganlah terus meletakkan perbezaan pandangan atau ideologi terus sebagai hambatan untuk kita berada sepentas bagi memperjuangkan kepentingan umat Islam. NGO-NGO Melayu atas apa nama sekalipun perlu bersama-sama di Pasir Salak. Janganlah berdegar-degar menentang ICERD melalui kenyataan media atau dalam laman sosial sahaja. Buktikan penyatuan hati kita dengan menggerakkan ahli-ahli turun ke Pasir Salak.

Himpunan tersebut amat penting bagi memberi isyarat kepada pihak-pihak tertentu, cukup-cukuplah menguji kesabaran orang Melayu. Apa lagi yang mereka mahu? Kita akui kuasa politik orang Melayu kini semakin lemah kerana perpecahan sesama mereka sehingga memungkinkan ada pihak mengambil kesempatan untuk menunjukkan wajah sebenar mereka.

Oleh itu kalaulah dalam isu ICERD inipun kita masih lagi berbalah dan tidak mahu bersatu, apa lagi kekuatan yang ada kepada orang Melayu dalam mempertahankan kepentingan mereka dan agama Islam? Bagi kelompok orang Melayu termasuk politikus yang masih takut bersuara atau dilihat bersuara mempertahankan sekutu mereka dalam isu ICERD, biarkan sahaja. Tidak mengapa kalau mereka mahu menggadaikan maruah semata-mata demi kepentingan kuasa politik.

Tetapi bagi orang Melayu lain yang memahami dan sedar ancaman ICERD terhadap kelangsungan perjuangan bangsa, mereka tidak boleh duduk diam. Jangan terpengaruh dengan kenyataan kononnya pandangan pelbagai pihak akan diambil kira sebelum ICERD dilaksanakan. Penulis tidak perlu ulas cuma mahu kita kaji sejauh manakah kekuatan parti-parti Melayu dalam kerajaan, apakah benar mereka mampu melawan kehendak sekutu mereka?

Sudah sampai masanya orang Melayu bangkit atas nama semangat Islam untuk menentang apa juga tindakan yang dilihat bagaikan `kaduk naik junjung’ oleh mana-mana pihak di negara ini. Kita bukanlah mahu merusuh atau mencetuskan kekacauan tetapi sekadar mengadakan satu perhimpunan aman bagi melahirkan pandangan kita sebagai rakyat pribumi negara ini.

Himpunan Perpaduan Ummah harus benar-benar berjaya kerana ia akan memberi peringatan kepada kelompok tertentu, janganlah cuma mengambil kesempatan atau mahu melaksanakan agenda-agenda tersirat yang bertujuan menggugat kedudukan orang Melayu dan umat Islam.

ICERD bukannya soal isu lama atau baharu, tetapi soalnya kenapakah baru sekarang beria-ia benar mahu ditandatangani? Apakah hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dilihat kesempatan terbaik untuk melaksanakan agenda yang selama ini dipendam? Apa agenda itu tidak perlu dinyatakan.

Tetapi apa yang pasti orang Melayu perlu turun beramai-ramai ke Pasir Salak pada 17 November. Turunlah atas nama orang Melayu dan kepentingan umat Islam bukannya demi tujuan politik apatah lagi mahu menggugat kaum lain. Sebaliknya ia demi memastikan keistimewaan mereka tidak digugat kononnya atas nama kesamarataan yang turut dilaungkan oleh sesetengah pemimpin Melayu yang semakin lupa daratan selepas mendapat kuasa!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×