KUANTAN 1 Nov. – Tidak membaca Perlembagaan Persekutuan didapati menjadi antara punca ramai pihak dan individu yang salah faham tentang artikel yang disentuh ketika berhujah menyokong atau menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau mendapati pihak dan individu yang menyokong ICERD pun ada yang tidak memahami Perlembagaan Persekutuan apatah lagi golongan menentang konvensyen berkenaan.

Beliau memberikan contoh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terdapat empat perkara di dalamnya iaitu yang pertamanya ialah kedudukan istimewa orang Melayu.
“Di situ tak ada perkataan hak jadi apabila menggunakan teropong ketuanan Melayu, itu memang salah sebab fasal 153 bukan berkaitan soal ketuanan Melayu, bukan soal bumiputera.
“Perkataan bumiputera tiada dalam Perlembagaan Persekutuan, kalau guna istilah itu (bermakna) memang tidak faham Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan kanta intraokular kepada golongan kurang berkemampuan dalam Parlimen Indera Mahkota di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, hal kedua adalah hak istimewa penduduk asal Sabah dan Sarawak.
“Kalau tanya orang sana mereka rasa mereka warga kelas pertama atau kedua? Mereka akan kata, antara saya dengan Semenanjung pun kalah. Itu antara diskriminasi, itu antara hendak ditegakkan dalam ICERD supaya jangan ada diskriminasi,” katanya.
Tambah beliau, buat masa ini, kerajaan akan memfokuskan kepada dua konvensyen yang lebih mudah iaitu Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan (UNCAT).
Beliau menjelaskan, tidak ada jangka masa ditetapkan untuk meratifikasikan ICERD tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap komited untuk melaksanakan konvensyen tersebut.
“Yang kita utamakan yang mudah untuk kita ratifikasi, sebenarnya ICERD boleh tetapi kita ambil masa untuk berbincang, berunding dan mengurangkan kerisauan dibangkitkan,” ujarnya.











