ICERD atasi Perlembagaan - Utusan Malaysia

ICERD atasi Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Sebarang perjanjian yang ditandatangani kerajaan da­lam ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) boleh menjadi ‘jalan belakang’ untuk mengata­si Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Islam Antararabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd. Yazid Zul Kepli menjelaskan, kerajaan tidak wajib untuk menandatangani atau menerima apa-apa perjanjian namun apabila kerajaan mula menandatanganinya, kerajaan wajib akur tentang perjanjian tersebut.

MOHD. YAZID ZULKEPLI
MOHD. YAZID ZUL KEPLI 

Katanya lagi, jika ada percanggahan antara undang-undang negara dan undang-undang antarabangsa kesannya ialah perjanjian iaitu undang-undang antarabangsa tersebut akan terpakai di mahkamah antarabangsa.

“Bahasa mudah, perjanjian ini boleh jadi jalan belakang untuk mengatasi Perlembagaan Persekutuan. Sebelum undang-undang antarabangsa ini terpakai ada proses ratifikasi iaitu undang-undang ini dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diselaraskan.

“Kerajaan boleh membuat syarat membantah atau tidak bersetuju dengan bahagian tertentu perjanjian tersebut namun memerlukan kajian dan masa yang lama oleh pihak Pejabat Peguam Negara. Sedangkan menteri memberi jaminan akan membuat ratifikasi awal tahun depan, sikap terburu-buru hendak meratifikasi pada masa ini cukup mencurigakan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Sementara itu, Pengasas Malaysian Lawyers Circle (MLC), Lukman Sheriff Alias berkata, hujah yang menyatakan bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda walaupun kerajaan meratifikasikan ICERD adalah tidak tepat.

“Mengikut hujah ini Perkara 153 hanya boleh dipinda apabila sultan merestuinya dan majoriti dua pertiga diperoleh, jadi apa nak risau? Tetapi hujah ini sengaja tidak memaklumkan bahawa kesemua undang-undang di bawah Perkara 153 hanya memerlukan majoriti dan tidak perlu persetujuan sultan untuk dipinda dan dimansuh.

“Contohnya Akta Universiti Teknologi Mara 1976, apa-apa perubahan atau pemansuhan ke atasnya hanya memerlukan kelulusan majoriti di Parlimen dan tidak memerlukan persetujuan sultan dan majoriti dua pertiga. Sekiranya ICERD diratifikasikan, UiTM akan dikategorikan sebagai mengamalkan diskriminasi kaum dan Akta UiTM perlu dipinda untuk menghalangnya berbuat sedemikian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN