Ibu pejabat Bersatu perlu diubah suai - Utusan Malaysia

Ibu pejabat Bersatu perlu diubah suai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terletak di bangunan Yayasan Selangor di sini perlu diubah suai segera supaya lengkap dengan segala kemudahan bagi memastikan operasi pentadbiran parti berjalan lancar.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana terdapat banyak rungutan dan perkara berbangkit termasuk masalah pendaftaran ahli-ahli baharu.

“Ibu pejabat perlu diubah suai agar mempunyai kemudahan dan produktiviti pentadbiran sendiri sebab kita menghadapi pelbagai hal seperti pendaftaran dan kad keahlian lewat siap. 

“Jadi kritikan itu kita cuba selesaikan di peringkat konvensyen negeri yang sudah bermula sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam majlis perasmian Pameran Koleksi Lukisan Wajah dan Budaya Etnik Malaysia di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia (SGM), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Rais berkata, ubah suai itu juga penting kerana lebih ramai pemimpin veteran politik dari Johor, Kelantan dan Kedah akan menyertai Bersatu dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, kemasukan semua pemimpin tersebut bukan untuk mendapatkan sebarang habuan atau pangkat sebaliknya ikhlas ingin membantu perjuangan Bersatu.

“Ada banyak nilai dan amalan lama yang meruntuhkan kita selama ini seperti rasuah dan tidak memperdulikan Perlembagaan Persekutuan, jadi kerja-kerja menapis bukanlah mudah kerana ia memakan masa,” katanya. 

Jumaat lalu, veteran UMNO yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyuarakan hasrat untuk menyertai Bersatu.

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada parti tersebut sebelum mengumumkan menyertai Bersatu pada 26 Oktober lalu.

Langkah tersebut dimulakan oleh Penasihat Eksekutif Pusat Rohingya ASEAN, Tan Sri Syed Hamid Albar mengesahkan telah menghantar borang keahlian Bersatu pada 26 September dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN