SHAH ALAM 9 Nov. – Ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang meninggal dunia di Hospital Ampang semalam akibat didera kini dikesan bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ibu kandung kanak-kanak terbabit, Noraini Samian, 20, diminta tampil ke balai polis berhampiran.
Menurutnya, turut dikesan adalah bapa tiri kanak-kanak berkenaan, Khairul Ezaini Khairuddin, 31, atau juga dikenali dengan panggilan Boy Tiger.
Ujarnya, kanak-kanak terbabit dihantar ibu kandung dan bapa tirinya ke hospital berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
“Hospital mendapati kanak-kanak terbabit mempunyai kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dihantar .
“Doktor yang merawat mangsa mengesahkan kanak-kanak ini telah meninggal dunia dan menemukan beberapa kesan luka serta lebam di muka, perut, dada dan bahagian belakang badan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Fadzil, kedua-dua individu itu telah menghilangkan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z berwarna kuning selepas menghantar kanak-kanak tersebut.
“Bedah siasat kanak-kanak itu dilakukan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.










