Ibu, anak terperangkap di belakang rumah semasa sidai pakaian - Utusan Malaysia

Ibu, anak terperangkap di belakang rumah semasa sidai pakaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 14 Nov. – Sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi menyelamatkan seorang jururawat dan anaknya yang terperangkap hampir dua jam di bahagian belakang rumah di Taman Angsamas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa, Noor Hasliana Mat Saad, 29, dan anak perempuannya berusia setahun enam bulan sedang menyidai pakaian di bahagian belakang rumah satu tingkat yang dipasang jeriji besi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd. Syazwan Saidy berkata, mangsa yang bekerja sebagai jururawat kemudian menyedari pintu dapur rumahnya tertutup secara tiba-tiba dipercayai akibat ditiup angin.

“Dia cuba membuka pintu yang terkunci dari dalam tetapi gagal. Wanita tersebut memanggil seorang lagi anaknya berusia tiga tahun di ruang tamu supaya membuka pintu itu tetapi tidak berjaya,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Syazwan berkata, anak sulung mangsa kemudian menghulurkan telefon bimbit melalui bawah pintu dan wanita itu menghubungi suaminya yang berkursus di Selangor bagi mendapatkan bantuan.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.46 malam dan tiba di rumah itu pada pukul 9.03 malam.

“Seramai tujuh anggota bomba mengambil masa selama 20 minit untuk membuka jeriji besi di belakang rumah bagi melepaskan kedua-dua mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN