KUALA LUMPUR 9 Nov. – Kadar sewa sebanyak RM124 sebulan yang gagal dijelaskan oleh penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di sini menyebabkan tunggakan terkumpul sebanyak RM28.13 juta sehingga 31 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, jumlah tunggakan itu melibatkan sebanyak 26,860 penyewa.
“DBKL mendapati sebahagian penyewa tidak membayar sewa setiap bulan walaupun mempunyai pendapatan yang dianggap berkemampuan untuk menjelaskan sewa tersebut.
“Tunggakan yang tinggi ini boleh menjejaskan perkhidmatan DBKL kepada penduduk kerana hasil kutipan sewa ini turut digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan penyelenggaraan rumah PPR dan PA,” katanya.
Khairul Azmir berkata, tindakan penamatan perjanjian penyewaan boleh dikenakan sekiranya terdapat penyewa yang masih ingkar dan degil menjelaskan tunggakan sewa berkenaan. – UTUSAN ONLINE










