HODEIDA 13 Nov. – Sekurang-kurangnya 150 orang terkorban dalam tempoh 24 jam ekoran pertempuran sengit antara tentera kerajaan yang disokong tentera gabungan diketuai Arab Saudi dengan kumpulan militan Houthi yang disokong Iran di bandar pelabuhan Hodeida.
Dalam satu kenyataan melalui aplikasi Telegram, kumpulan Houthi mendakwa mereka berjaya `memperdaya’ tentera gabungan sehingga ke pinggir laut barat bandar ini dan menyerang mereka.
Tentera kerajaan berjaya memasuki Hodeida selepas 11 hari pertempuran dan tiba di kawasan penempatan penduduk di timur bandar ini sekaligus mencetuskan kebimbangan berlakunya pertempuran di jalan raya yang akan membahayakan orang awam.
Sumber tentera kerajaan memberitahu, penembak curi kumpulan Houthi kini berada di atas bumbung bangunan berhampiran jalan raya awam di timur Hodeida, beberapa kilometer dari pelabuhan yang terletak di pinggir barat bandar ini. – AFP











