PUTRAJAYA 9 Nov. – Hari Inovasi dan Kecemerlangan (HIK) Jabatan Perdana Menteri (JPM) terus menjadi medan untuk meraikan dan mengiktiraf jabatan serta agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
Penganjuran HIK JPM pada tahun ini yang diadakan di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri di sini dengan bertemakan Inovasi Keunggulan Prestasi ternyata mendapat sambutan memberansangkan daripada warga JPM.
HIK JPM 2018 menampilkan pengisian menarik hasil kolaborasi strategik dan gabungan idea daripada 56 jabatan dan agensi di bawah JPM, antara pengisian yang menjadi tumpuan ialah bicara inovasi, pertunjukan inovasi, pameran inovasi serta kuiz inovasi.
Selain itu, Pertandingan Mencipta Montaj HIK JPM 2018 telah mencungkil kekuatan daya pemikiran kreatif dan inovatif warga JPM dalam membentuk sebuah karya yang menarik.
Namun, apa yang paling menjadi tumpuan pastinya empat anugerah utama yang dipertandingkan iaitu Anugerah Perdana, Anugerah Pengurusan JPM 2018, Anugerah Pencapaian Sukan JPM 2017 dan Anugerah Inovasi JPM 2018.
Bagi Pertandingan Montaj HIK JPM 2018, Muslaini Hafizah Mohamed Hassan dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) muncul juara dan berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,500 dan juga sijil penyertaan.
Anugerah Pengurusan JPM 2018 pula dimenangi oleh Majlis Keselamatan Negara (HRMIS), Pejabat Daerah Pertahanan Awam Langkawi (Pengurusan Projek Terbaik), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (PTJ Terbaik Kategori Besar), Jabatan Peguam Negara Kuala Lumpur (PTJ Terbaik Kategori Sederhana), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Peneraju e-Perolehan) dan Jabatan Insolvensi Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Penambahbaikan Pengurusan Kewangan).
Anugerah Pencapaian Sukan JPM 2017 pula menyaksikan Nik Mohd. Fitra Wan Jaffar dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati pula disandang oleh Nurdiyana Mansuri dari JPM, mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta piala pusingan.
Sementara itu, Kelab Sukan dan Rekreasi Felda pula merangkul Anugerah Khas Pencapaian Sukan, Kelab JPA (Anugerah Kelab Kebajikan dan Sukan Terbaik JPM) selain Pasukan JPM Paddlers merangkul Anugerah Pasukan Terbaik, masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala pusingan.
Yang istimewa, dalam Anugerah Pencapaian Sukan JPM 2017, HIK 2018 turut memperkenalkan Anugerah Khas Pencapaian Sosial (Individu) yang dimenangi oleh Wan Mohd. Nazif Wan Mahmud. Anugerah itu bagi menghargai pencapaian dan hasil kerja pemenang terpilih.
Menurut Wan Mohd. Nazif, kemenangan tersebut amat bermakna buat dirinya dan dia mengucapkan terima kasih kepada JPM kerana menghargai segala jasa dan sumbangannya dalam menganjurkan pelbagai program keagamaan dan kerohanian.
“Saya diberikan tangungjawab di JPM untuk menganjurkan program kerohanian selain penerapan nilai-nilai Islam. Alhamdulillah hasil kerja saya dihargai, apabila ikhlas dalam kerja dan tidak bekerja untuk gaji semata-mata kita akan dihargai dan mendapat imbuhan yang setimpal,” katanya.
Sementara itu, Anugerah Inovasi JPM 2018 pula dimenangi oleh APM Tawau, Sabah melalui projek Multi Flexible Rescue Stretcher (kategori bukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melalui projek ‘e-tapis’ bagi kategori ICT.
Paling mencuri tumpuan ialah Anugerah Perdana yang dimenangi oleh APM, anugerah ini kali terakhir dipertandingkan ialah lima tahun lalu, ia diberikan kepada jabatan atau agensi JPM yang cemerlang dalam aspek inovasi, pengurusan serta penglibatan sosial dan sukan secara keseluruhan.










