Hidu peluang terhidang Belanjawan 2019 - Utusan Malaysia

Hidu peluang terhidang Belanjawan 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETANG Jumaat lalu, seluruh negara tertumpu kepada pembentangan Belanjawan 2019 yang dikatakan bersejarah ke­rana dirangka dan dibentangkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) setelah berpuluh tahun dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Rata-rata rakyat memasang telinga bagi mendengar pengumuman yang memberi manfaat kepada mereka. Ada berpendapat belanjawan berkenaan adalah bajet untuk rakyat berdikari lebih daripada hanya mengharapkan bantuan seperti perum­pamaan bahawa kita diberi joran untuk memancing dan tidak lagi hanya diberi ikan untuk sekali makan. Namun, pemberian bersifat sementara seperti bantuan sara hidup dan juga bonus bagi penjawat awam masih diteruskan walaupun nilainya tidak banyak.

Oleh itu, rakyat seharusnya bijak untuk menghidu peluang yang terhidang melalui Belanjawan 2019 dan mengelakkan daripada hanya fokus kepada pemberian bersifat sementara seperti bantuan sara hidup dan bonus.

Terdapat banyak peluang dalam setiap sektor yang ada di negara ini antaranya bidang pendidikan, pelancongan dan pertanian yang diberi penekanan dalam pembentangan belanjawan kali ini.

Sebagai contoh, kontraktor bumiputera seharusnya merancang untuk menembusi projek-projek kerajaan yang bakal dianuge­rahkan hasil daripada Belanjawan 2019. Antara peruntukan paling besar yang diumumkan adalah bagi sektor pendidikan termasuk pembangunan dan penambahbaikan sekolah serta institusi pendidikan, pembangunan agama Islam dengan dana untuk meningkatkan syiar Islam, peruntukan membina taska di pejabat-pejabat kerajaan dan pembinaan jalan raya di kawasan luar bandar. Ini adalah peluang sangat baik yang wajib disambar oleh kontraktor ter­utamanya bumiputera dengan persediaan-persediaan sewajarnya.

Sementara itu, penjawat awam pula seharusnya mengambil peluang selain daripada pemberian bonus sahaja antaranya untuk memiliki rumah pertama di bawah skim perumahan penjawat awam bagi yang belum memiliki kediaman. Antara pengumuman lain adalah pemanjangan tempoh pinjaman perumahan di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang pastinya mencerahkan peluang untuk mereka memiliki rumah. Perkara lain yang menarik adalah cadangan penambahan 50 taska di bangunan-bangunan kerajaan yang boleh menjimatkan perbelanjaan anak-anak untuk dihantar kepada pengasuh luar.

Belanjawan ini juga memberi manfaat kepada petani dan peladang antaranya cadangan pelaksanaan insentif bagi pekebun kecil kelapa sawit untuk memperoleh pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan insentif pengeluaran getah yang akan menyokong pendapatan pekebun jika harga getah jatuh. Oleh itu, semua rakyat terutamanya golongan bumiputera seharusnya pantas merebut peluang yang terdapat dalam belanjawan ini.

PENULIS berkhidmat di Pejabat Bendahari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN