Hentikan serangan lanjut di Yemen - Utusan Malaysia

Hentikan serangan lanjut di Yemen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 Okt. – Malaysia menyertai komuniti antarabangsa dalam menggesa pihak yang terlibat dalam konflik berpanjangan di Yemen agar segera menghentikan sebarang serangan lanjut.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memberitahu, penghentian serangan itu adalah sebagai menghormati gencatan senjata serta membolehkan akses untuk bantuan kemanusiaan.

Katanya, Malaysia mengulangi seruan kepada semua pihak di Yemen untuk kembali ke meja dialog tanpa sebarang prasyarat serta dengan niat baik iaitu untuk melaksanakan pelan peralihan politik negara.

“Malaysia percaya bahawa dialog itu akan menjadi platform kepada memudahkan penyelesaian konflik secara damai dan mengembalikan negara itu ke keadaan aman dan stabil.

“Malaysia percaya bahawa penyelesaian jangka masa lama hanya boleh dicapai melalui dialog dan penyelesaian perundingan politik dan bukan melalui kuasa ketenteraan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menjelaskan, sehingga bulan lalu, konflik di Yemen telah mengakibatkan kira-kira 22 juta orang iaitu kira-kira 75 peratus
daripada keseluruhan penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan.

Katanya, rakyat Yemen ketika ini ditimpa dengan pelbagai krisis termasuk konflik bersenjata, pemindahan, risiko kebuluran serta wabak penyakit termasuk kolera sekali gus mencipta krisis kemanusiaan terburuk dunia.

Kenyataan itu menambah, Malaysia menyokong seruan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar semua pihak berkenaan untuk melibatkan diri dalam perundingan digerakkan oleh pertubuhan itu.

“Malaysia menzahirkan sokongan penuhnya terhadap usaha PBB dalam mencari satu penyelesaian politik untuk menamatkan konflik di Yemen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN