SEOUL – Korea Utara telah memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa pihaknya akan mempertimbangkan ‘secara serius’ untuk kembali kepada dasar membina senjata nuklear jika Washington masih enggan menamatkan sekatan ekonomi yang keras terhadap rejim miskin itu.
Selama bertahun-tahun, Korea Utara telah meneruskan dasar ‘byungjin’ untuk membangunkan keupayaan nuklearnya seiring dengan ekonomi.
Pada April lalu, memetik ‘persekitaran tenang dan damai’ di semenanjung Korea, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un mengisytiharkan usaha nuklear telah selesai dan berkata negaranya akan memberi tumpuan kepada ‘pembinaan ekonomi sosialis’.
Bagaimanapun kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Korea Utara mengatakan Pyongyang boleh kembali meneruskan dasar lamanya jika AS tidak mengubah pendirian terhadap sekatan yang dikenakan.
“Perkataan ‘byungjin’ boleh muncul lagi dan perubahan garis boleh dipertimbangkan dengan serius,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita KCNA lewat Jumaat.
Pada sidang kemuncak bersejarah di Singapura, Jun lalu, Presiden AS, Donald Trump dan Jong-un menandatangani satu kenyataan yang tidak jelas mengenai gencatan senjata nuklear.
Namun sedikit kemajuan telah dibuat sejak itu, dengan Washington menekan untuk mengekalkan sekatan terhadap Korea Utara sehingga ‘pelucutan senjata nuklear terakhir dan disahkan sepenuhnya’ manakala Pyongyang mengutuk tuntutan AS sebagai ‘seperti gangster’.
“Penambahbaikan hubungan dan sekatan adalah tidak serasi. Apa yang perlu dilakukan ialah jawapan yang sepadan AS,” kata kenyataan itu, yang dikeluarkan di bawah nama Pengarah Institut Pengajian Amerika untuk Kementerian Luar Negeri.
Kenyataan tersebut merupakan isyarat terbaharu kekecewaan Pyongyang yang semakin meningkat terhadap Washington. – AFP










